Wednesday 23 June 2010

Gelora Cinta Seorang Gadis 2

Walaubagaimanapun dia masih menghiasi hari-hari ku di fakulti. Ada beberapa tugasan yang memerlukan kami berkomunikasi. Aku cuba menjadikannya seminimal mungkin. Aku sedaya-upaya menjauhkan diri. Tingkahku kadang-kala seperti membenci. Aku tak mahu melukakan hati sesiapa tapi murka Allah lebih perlu ku jaga. Perasaan itu adakala memudar. Tapi kadang-kadang begitu mencengkam sanubari.

Aku tegar mendekati Tuhan. Malam-malam ku hiasi dengan pujuk rayu, memohon tanpa henti diberi kekuatan melawan perasaan. Aku makin rajin hanyut dalam kalamullah, Al-Furqan benar-benar penawar hati yang mustajab. Dalam keasyikan menghayati keindahan dalam pembacaan, aku jadi leka seketika dari zikir tentangnya. Zikir yang aku sendiri tak mahu mengungkapnya tapi hadir tanpa rela.

Bila waktu perasaan itu benar-benar menduga, adakala aku mengharap amat dia memulakan langkah pertama. Aku berharap dia juga punya perasaan sepertiku. Aku harap ada hubungan menjalin perasaan itu. Aku harap cinta itu mekar dan saling berpadu.

Malahan adakala kutitip dalam doa di kala dinihari. Ada ketika, bila dia melintas di depan mata aku berharap dia berhenti, menatap wajahku dan mengungkap kalimah keramat yang sangat ku rindu. Aku berharap di menggenggam tanganku dan bawa aku melestarikan cinta berdua.

Tapi itu cuma harapan. Dia tidak pernah menjelingku walau sekilas. Aku juga tak mahu begitu. Aku cuma mengharap kerana perasaan itu begitu mendesak. Namun tangisku akan panjang setelah itu. Rasa kesal mendalam kerana cinta Tuhan yang patut ku damba, bekhalwat dengan-Nya yang wajar ku impi, menggapai kasih-Nya yang mesti ku rindu. Betapa hitam hatiku hingga tidak mengenal apa yang utama. Ya Allah, aku pohon Engkau menghapuskan ingatan ku padanya, tak sanggup aku menanggung tompokan hitam yang begitu memberat di kalbu.

Kadang-kala aku resah kenapa tidak dia meluahkan perasaan padaku. Atau pada sesiapa jua. Aku pasti satu perkara, ketinggian peribadinya yang menjerat perasaanku. Andai dia melencong arah, pasti perasaan ini kian memudar dan akhirnya hilang. Mengapa dia begitu sempurna sebagai manusia? Ya Allah, benar-benar ciptaan-Mu ini merupakan ujian bagiku, oleh itu aku mohon kekuatan dari-Mu.

Lebih empat tahun aku mengekang perasaan. Segalanya telah kulakukan demi mengekalkan kesucian dalam jiwa. Tinggal saja aku tak sanggup menukar jurusan yang ku pilih kerana minat mendalam yang tak mungkin ku singkir.

Aku berpegang pada janji Allah. Dalam Surah An-Nur, ayat 26; bermaksud ‘wanita-wanita yang keji diperuntukkan untuk lelaki yang keji. Dan lelaki yang keji diperuntukkan untuk wanita yang keji pula, dan wanita yang baik diperuntukkan bagi lelaki yang baik, dan lelaki yang baik diperuntukkan bagi wanita yang baik pula’. Aku yakin aku akan menemui pemilik tulang rusuk yang darinya aku dicipta. Aku pasti telah tertulis di luh mahfuz namanya. Bukan aku menyerah takdir tapi aku benar-benar yakin kepada-Nya.

Cuma sabda Nabi s.a.w. ‘Apabila seseorang hamba telah berkeluarga, bererti dia telah menyempurnakan separuh daripada agamanya. Maka takutlah kepada Allah terhadap separuh yang lain’. Begitu juga sabda baginda ‘Perkahwinan itu sunnahku.

Sesiapa yang menolak sunnahku, maka dia bukan dari kalanganku’. Aku mahu menyempurnakan agama serta mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. Perasaan itu ada pasang-surutnya. Namun tak pernah mati. Aku juga makin mengerti akan makna kehadiran perasaan itu. Perasaan itu sama sekali bagai anugerah kurniaan Ilahi. Ujian yang membawa keteguhan hati dan iman. Tiap kali aku berjaya melawan godaan perasaan, semakin mantap keyakinan dan keimananku pada Ilahi.

Sesungguhnya Allah tak pernah menjanjikan jalan yang mudah bagi orang-orang yang beriman tapi Allah berjanji akan sentiasa di sisi menemani perjuangan hamba-hamba-Nya yang yakin dengan janji-janji-Nya.

Masa berlalu pantas. Aku bakal meninggalkan perkarangan taman ilmu yang telah banyak menjadi saksi perjuanganku menjaga kesucian hati. Aku tahu aku bakal melangkah dunia luar yang lebih banyak onak duri merintangi. Ya Allah, tetapkanlah langkahku atas jalan-Mu.

“Sesungguhnya aku sudah lama tertawan padamu. Sesungguhnya sudah sekian waktu cintaku bersemi buatmu. Sesungguhnya namamu telah terpahat kukuh dan bertakhta di hati. Tapi demi kesucian hubungan yang ingin aku lestarikan, aku pendam perasaan itu jauh di lubuk hati, aku simpan rapi tanpa sebarang noda. Sesungguhnya memang tekadku menyunting mu sebagai suri hidupku dalam ikatan yang suci. Demi cinta yang ku pelihara kesucian buat sekian lama, demi Tuhan yang menganugerahkan cinta ini, sudikah engkau menerima ku sebagai suami mu? Lelaki yang harta dan maruahnya adalah amanahmu serta lelaki yang padanya terletak maruah dan syurga mu,”

Air mata ku menitis, tak mampu lagi berkolam di tubir mata. Wajah redupnya kutatap. Suara lembutnya menusuk sukma. Sinar matanya membuah syahdu. Dia mengukir senyuman mempesona jiwa raga. Perlahan jari-jemarinya menyentuh wajahku, menyapu air mata mengalir di pipi. Aku tunduk, menahan getar dalam kalbu.

Aku bersyukur dia tak pernah meluahkan isi hatinya. Aku bersyukur aku tegar menongkah arus perasaan. Aku takjub kerana kekuasaan Allah di luar batas kemampuan insan. Aku takjub kerana kesabaran menempuh ujian dibalas nikmat yang sungguh mengasyikkan. Aku bersyukur dan takjub bahawa aku kini isteri yang sah kepada lelaki yang sekian lama ku menaruh cinta. Aku bersyukur memiliki cintanya tanpa menggadai cinta Ilahi. Aku takjub dengan keajaiban cinta. Aku akhirnya bisa merai cinta setelah sekian lama.

Hari konvokesyen adalah hari yang dinanti-nanti setiap insan yang bergelar mahasisiwa. Sejak melangkah ke menara gading, aku tak pernah berhenti membayangkan hari konvokesyen yang gilang-gemilang yang bakal aku hadiri sebagai seorang siswazah. Hari itu pasti mengukir sejarah manis dalam diari setiap insan yang melaluinya. Siapa sangka pada hari itu aku menerima lafaz keramat yang selama ini ku nanti.

“Saya...saya.....sudikah awak menjadi isteri saya?” aku disunting dalam barisan beratur menunggu giliran untuk naik ke pentas. Wajahku merona merah, jantungku yang dari tadi berdegup kencang kerana terpaksa berada di hadapannya dalam barisan itu semakin dipalu-palu rasanya. Aku diam. Hilang punca untuk berbicara.

“Saya anggap diam tanda setuju. Insya-Allah, dalam minggu depan ibu bapa saya akan bertandang ke rumah awak. Awak tak perlu risau, saya sudah mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang tetap,” lancar bicaranya. Lidah ku kelu sama sekali. Tentu sekali tidak menyangka ada sejarah lain yang bakal terukir dalam memoriku hari ini selain majlis konvokesyen yang penuh berprestij. Aku tak tahu apa perasaanku saat ini. Segala bercampur-baur tidak menentu. Aku bimbang hilang konsentrasi sedang aku bakal naik ke pentas dalam beberapa minit lagi. Aku mengosongkan minda kecuali bergumam di ruang fikiran, ‘janji Allah itu pasti’.


Nukilan Suci,

Amal Mina

(11 January 2008)

1 comment:

  1. waa..how sweet..
    i like this one..
    memang bermakna...
    =)

    ReplyDelete